IPOH, 31 Oktober – Maahad Imtiyaz terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan agama berprestij apabila sekali lagi menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 bagi kategori Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR).
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Darul Ridzuan yang telah diadakan di Casuarina Convention Centre, Hotel Casuarina, Ipoh semalam.
Anugerah bagi pihak sekolah telah diterima oleh Ustaz Azimi bin Mohamed, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Maahad Imtiyaz. Ini merupakan kali keempat Maahad Imtiyaz menerima pengiktirafan berprestij ini selepas kejayaan pada tahun 2017, 2022, dan 2023.
Dalam majlis yang sama, bekas pelajar Maahad Imtiyaz, Izzah Khadija binti Ahmad Ghadaffi (sesi 2020–2024) turut menerima Anugerah Murid Terbaik SPM Tahun 2024 kategori SMAR hasil pencapaian cemerlang dalam akademik serta penglibatan aktif dalam aktiviti kepimpinan dan keagamaan.
Menurut Ustaz Azimi, kejayaan berganda ini adalah hasil dedikasi seluruh warga sekolah serta usaha berterusan untuk menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan rohani.
“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan bersepadu yang diterapkan di Maahad Imtiyaz. Kami berusaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga memiliki sahsiah dan daya kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, pengiktirafan ini menjadi motivasi kepada warga Maahad Imtiyaz untuk terus melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu berdikari, sejajar dengan slogan sekolah,“Huffaz Inovatif Mandiri.”
Kejayaan ini turut menjadi bukti komitmen Maahad Imtiyaz dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan berteraskan nilai Islam dan kecemerlangan duniawi.




